MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin menyifatkan kerosakan pada saluran paip gas Nord Stream sebagai perbuatan sabotaj yang belum pernah berlaku sebelum ini dan merupakan perbuatan keganasan antarabangsa terhadap Moscow, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Kenyataan itu dibuat semasa panggilan telefon Putin dengan rakan sejawat dari Turkiye, Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Punca kebocoran pada saluran gas dasar laut itu masih belum dikenal pasti tetapi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, kejadian itu adalah akibat sabotaj yang disengajakan.
Terdapat dua lubang pada setiap paip dengan dua daripadanya terletak di perairan Sweden dan dua di perairan Denmark, demikian menurut Pengawal Pantai Sweden.
Di sebalik penegasan Rusia mengenai perbuatan sabotaj ke atas paip Nord Stream, banyak pihak percaya insiden tersebut didalangi oleh Kremlin sendiri.
NATO berkata, letupan yang menyebabkan kebocoran gas itu kelihatan seperti perbuatan sabotaj dan pihak bertanggungjawan sedar bahawa sebarang serangan yang disengajakan terhadap infrastruktur negara-negara perikatan Barat akan disusuli oleh tindak balas ‘sepakat dan tegas’.
Pegawai-pegawai keselamatan Eropah melihat kapal sokongan Tentera Laut Rusia pada hari Isnin dan Selasa lepas di sekitar lokasi empat titik kebocoran papaip Nord Stream yang dikesan.
Pegawai keselamatan Eropah berkata, masih belum jelas sama ada mana-mana kapal itu terlibat dengan kejadian tersebut tetapi memaklumkan bahawa semua kemungkinan disiasat.
Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, berdasarkan tahap kerosakan yang berlaku, tindakan keganasan pada saluran paip Nord Stream mungkin didalangi kerajaan asing. – Agensi