PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menerima permohonan untuk membawa masuk 229,151 pekerja asing menerusi Visa Dengan Rujukan (VDR) tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 225,181 VDR telah diluluskan mulai 1 Januari hingga 30 September lalu.
Beliau berkata, semua kelulusan VDR dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian atau dikenali sebagai e-VDR dalam kalangan majikan.
“Baki sebanyak 3,970 permohonan masih dalam proses kelulusan dan akan diselesaikan dalam masa tujuh hari bekerja.
“Kami ingin menjelaskan tiada proses manual yang terlibat dalam pengeluaran VDR ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, kelulusan VDR yang telah diberikan termasuk pembantu rumah asing (4,635), pembinaan (12,740),perkhidmatan (45,405), perkilangan (120,941), perladangan (32,171) dan Pertanian (9,289).
Khairul berkata, setakat 30 September lalu, jumlah pekerja asing baharu yang telah masuk ke negara ini ialah seramai 101,502 dengan jumlah keseluruhan pekerja asing dalam negara kini mencecah 1,244,400 orang.
Menurutnya, JIM sentiasa komited untuk meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pekerja asing di negara ini dan memahami keperluan pekerja asing oleh industri tempatan dari pelbagai sektor.
“Jabatan ini juga sentiasa terbuka untuk mengadakan dialog dengan semua pemegang taruh bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pekerja-pekerja asing di negara ini,” katanya.
Katanya, JIM kini sedang melaksanakan secara pilot projek inisiatif pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara digital yang membolehkan majikan mencetak sendiri permit pekerja-pekerja asing mereka.-KOSMO! ONLINE