PETALING JAYA – Rindu kepada mereka yang telah tiada pastinya menyakitkan.
Hanya gambar-gambar dan rakaman momen kebahagiaan sebelumnya sahaja mampu mengubat rindu yang tidak berpenghujung.
Begitulah yang berlaku kepada pengguna TikTok @D_mas, yang sempat merakam detik indah bersama arwah suami enam hari sebelum pasangannya itu meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.
Dalam video tersebut, dia sempat bergurau meminta lelaki itu menjamah sedikit makanan di sebuah restoran, namun ditolak dengan alasan sudah kenyang hanya dengan menatap wajah isterinya itu sambil merenung penuh makna.
“Siapa sangka masa ini enam hari lagi arwah akan pergi selamanya. Dia memang kurang makan nak jaga kesihatan katanya.
“Sempat lagi bergurau senda bila disuruh makan. Semoga abang tenang di alam sana, al-Fatihah,” tulisnya pada keterangan video.
Perkongsian tersebut tidak hanya terhenti di situ, malah rata-rata netizen menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan hantaran video yang menyentuh hati itu.
“Saya faham apa puan rasa. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Saya pula yang nangis,” ujar Sakinah Muhammad.
“Arwah suami saya pun dalam sebulan nak pergi, dia jadi kurang makan katanya nak diet,” kongsi Cik Puan Sri pula.
“Semoga video ini menjadi iktibar agar kita sentiasa hargai orang sekeliling sebelum mereka pergi,” tulis Afkar Souk. – KOSMO! ONLINE