KAHERAH – Seorang wanita Mesir nekad membunuh suaminya yang berkahwin dua dengan melempar lelaki itu dari balkoni tingkat lima kediaman mereka, lapor laman berita Gulf News semalam.
Jenayah itu mencetuskan perdebatan di media sosial dengan sebahagian netizen media sosial menuntut hukuman maksimum terhadap pesalah.
Mangsa dikatakan bekerja di luar Mesir dan pulang ke negara itu untuk bercuti.
Suspek dikatakan telah memanggil bapa, abang-abang dan beberapa samseng ke rumah mereka untuk memaksa suaminya menceraikan isteri kedua.
Bagaimanapun, apabila mangsa enggan, mereka memukul lelaki itu dengan teruk sebelum mencampak tubuhnya dari balkoni tingkat lima.
Keluarga mangsa menuduh menantu mereka dan keluarganya membunuh anak lelaki mereka selepas memaksa mangsa menandatangani beberapa kertas untuk manfaat isteri pertamanya.
Selepas dia menyerah kepada tuntutan mereka, suspek memberitahu bahawa mangsa terjatuh dari balkoni dan membawa mayatnya ke hospital dengan mendakwa dia telah membunuh diri.
Bagaimanapun, selepas disoal siasat, jawapan yang tidak selari mengenai kejadian menimbulkan syak wasangka polis sebelum mereka semua mengaku terlibat dalam pembunuhan tersebut. – Agensi