LIVERPOOL – Selepas dihimpit masalah kecederaan pemain dan mengharungi rehat panjang, perhitungan dengan Brighton malam ini bakal menjadi satu lagi ujian buat Liverpool untuk mengembalikan prestasi terbaik.
Kaptennya, Jordan Henderson yang sudah pun kembali bersama England di saingan Liga Negara-Negara Eropah berharap kemenangan ke atas Ajax di Liga Juara-Juara pertengahan bulan lalu mampu dijadikan suntikan semangat untuk cuba mengatasi Brighton
“Ia menjadi perlawanan yang besar buat kami dan dengan apa yang Brighton tunjukkan musim ini, saya percaya perlawanan ini akan berlangsung sengit. Saya juga harap penyokong kami akan terus bersama pasukan.
“Graham Potter sudah melakukan tugasnya dengan baik ketika bersama Brighton dan mereka juga miliki pemain berkualiti. Apabila sesebuah kelab dikendalikan pengurus baharu, pemain pasti akan berikan segala-galanya, tetapi kami juga perlu melakukan perkara sama.
“Jika kami mampu beraksi di tahap sepatutnya, saya percaya ia akan menjadi hari yang hebat buat kami,” katanya yang diberi peluang beraksi enam minit ketika England seri 3-3 dengan Jerman.
Dalam pada itu, pemain pinjaman The Reds, Arthur Melo sudah pun memberi bayangan beliau bersedia untuk memperkuatkan skuad utama The Reds selepas banyak menghabiskan masa bersama pasukan bawah 23 tahun.
Ketika ini, Arthur sentiasa bekerja keras dan walaupun masih tidak mendapat peluang, pemain dari Brazil itu kekal positif untuk menarik minat Klopp. – AGENSI