LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte menutup spekulasi kepulangannya semula ke Juventus apabila mengakui fokus utama ketika ini adalah mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Arsenal di Emirates malam ini.
Kontrak pengurus dari Itali itu akan tamat pada musim panas akan datang, namun pendiriannya ketika ini cukup jelas dan akui begitu gembira menabur khidmat bersama Spurs di Liga Perdana Inggeris.
“Perkara utama bagi saya dan kelab adalah cuba memahami betapa pentingnya untuk kami terus bekerja dan menuju ke destinasi yang betul. Saya tidak melihat kepada perkara lain dan saya pernah katakan, saya tidak memerlukan sebarang kontrak untuk pastikan kekal di sesebuah kelab.
“Saya juga fikir kelab melakukan pelaburan yang bagus untuk memiliki jurulatih seperti saya. Ketika ini saya berasa gembira dan sekarang bukan masa tepat untuk berbincang mengenai perkara ini (perpindahan).
“Kami baharu saja memulakan musim dan kami perlu terus kekal bersama, cuba memahami antara satu sama lain dan bekerja bersama. Saya begitu gembira untuk bekerja di Tottenham dengan pemain yang ada, malah hubungan dengan pemilik, Daniel Levy dan Fabio Paratici juga agak baik,” katanya.
Dalam masa sama, Conte juga tampil mempertahankan penyerang baharunya, Richarlison selepas berdepan serangan perkauman ketika menyertai Brazil dalam aksi persahabatan.
Selain itu, Conte juga mengakui gembira apabila Dejan Kulusevski sudah pun kembali menyertai pasukan dan dijangka akan memainkan peranan pada kunjungan ke Arsenal.
“Walaupun berdepan masalah fizikal, jujurnya saya tidak mahu bercakap tentang kecederaan kerana ia akan beri kelebihan kepada Arsenal. Sudah pasti kami akan mencari penyelesaian terbaik dan tidak akan mengambil sebarang risiko,” jelasnya. – AGENSI