LONDON – Arsenal memanfaatkan kelebihan menentang Tottenham Hotspur yang ‘tempang’ beraksi dengan 10 pemain untuk mencatat kemenangan 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
Kemenangan itu amat bermakna buat The Gunners yang masih kebal di Stadium Emirates dalam pertemuan derbi Utara London sejak tewas 0-2 kepada Spurs pada aksi Piala Liga England empat tahun lalu.
Bukan itu sahaja, tiga mata tersebut juga membuktikan status Arsenal sebagai pencabar utama gelaran EPL musim ini apabila kekal menerajui carta selepas lapan perlawnan setakat ini.
Skuad bimbingan Mikel Arteta itu membuka tirai jaringan menerusi percubaan cantik Thomas Partey daripada luar kawasan kotak penalti pada minit ke-20.
Bagaimanapun, Spurs kembali menyamakan kedudukan selepas bek tengah Arsenal, Gabriel Magalhaes mengasari Richarlison membolehkan Harry Kane menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-31.
Bersambung babak kedua, giliran skuad bimbingan Antonio Conte itu pula melakukan kesilapan apabila penjaga golnya, Hugo Lloris ‘menghadiahkan’ gol kedua Arsenal menerusi Gabriel Jesus pada minit ke-49.
Tugas Arsenal menjadi mudah apabila pertahanan kanan Spurs, Emerson Royal melakukan terjahan keras ke atas Gabriel Martinelli menyebabkan dia dilayangkan kad merah pada minit ke-62.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Arsenal dengan menjaringkan gol ketiga kali ini menerusi Granit Xhaka pada minit ke-67.
Biarpun Arsenal gagal menambah jaringan keempat tetapi baki perlawanan selepas itu dikuasai sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah untuk memastikan derbi Utara London menjadi milik mereka. – KOSMO! ONLINE