fbpx

13 lagi warganegera diselamatkan dari Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Episod duka 13 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja disifatkan berakhir apabila kesemua mereka berjaya diselamatkan dan tiba di tanah air semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, kesemua mereka yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menerusi penerbangan Air Asia, AK535.

“Sehingga kini, seramai 261 orang mangsa telah berjaya diselamatkan, di mana 171 orang dibawa balik ke Malaysia dan baki 90 orang lagi sedang menunggu proses penghantaran pulang.

“Selaras keputusan mesyuarat jemaah menteri pada 21 September lalu, satu Jawatankuasa Khas diketuai Kementerian Luar Negeri turut ditubuhkan bagi menangani sindiket itu secara menyeluruh,” katanya di sini tadi.

Wisma Putra berkata, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas itu telah dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah secara maya pada 27 September 2022.

“Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh sembilan kementerian dan agensi seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Antara cadangan dan tindakan diambil menerusi mesyuarat itu termasuklah mengadakan pertemuan dengan ketua perwakilan negara terlibat pada 30 September 2022,” jelasnya.

Ujar kenyataan itu, pertemuan tersebut bertujuan memaklumkan pendirian Malaysia yang prihatin dan memandang serius isu terlibat selain merupakan usaha berterusan kerajaan mendapatkan kerjasama negara terlibat dalam menggiatkan usaha mengesan serta menyelamatkan mangsa.

“Ketua perwakilan asing turut menyatakan komitmen masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu berkenaan.

“Pada masa sama, ketua perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand turut diminta terus berusaha menyelesaikan isu terlibat secara cepat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI