KUALA LUMPUR – Hasil laporan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 110 orang telah selamat dibawa pulang ke Malaysia dan 174 orang lagi masih lagi terkandas di luar negara.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, bermula tahun 2021 hingga 30 September ini, PDRM telah menerima 224 laporan polis daripada ahli keluarga dan kenalan mangsa yang diperdaya sindiket terbabit.
Katanya, PDRM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan Polis Antarabangsa (INTERPOL).
“PDRM juga turut terlibat dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri untuk menangani penipuan tawaran kerja luar negara.
“Masyarakat dinasihati supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika menerima tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut memaklumkan amat penting untuk semak kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dibuat dengan Kementerian Luar Negeri, sebelum terima tawaran kerja di luar negara
“PDRM mengalukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan lanjut diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE.