fbpx

Radzi nafi SMK Kota Warisan ‘gula-gula’ PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Radzi (kiri) bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada sidang akhbar selepas meninjau lawatan tapak projek SMK Kota Warisan di Sepang hari ini. GAMBAR FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menafikan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di sini sebagai ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneliti keperluan pembinaan sesebuah sekolah baharu berdasarkan aspek seperti kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

“Kalau cakap tentang ‘track record’ KPM, PRU atau tidak PRU bila kita lihat satu keadaan di mana memerlukan penelitian segera, kita laksanakan.

“Sebagai contoh SMK Bandar Saujana Putra yang terbengkalai sekian lama tapi kita buktikannya, kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan sekolah berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu, Radzi diminta mengulas mengenai dakwaan pembinaan SMK Kota Warisan sebagai gula-gula politik menjelang PRU15.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, Kota Warisan mula diduduki oleh penduduk sejak awal tahun 2001, namun sekolah menengah terdekat iaitu SMK Dengkil berada kira-kira lapan kilometer (km) dari kawasan tersebut.

“Paling dekat (sekolah) dengan kawasan ini sekitar 8 km ada SMK Dengkil dengan kapasiti murid 1,800 orang, ada SMK Seri Sepang lebih kurang 10 km dan SMK Bandar Baru Salak Tinggi kira-kira 13 km dari sini.

“Jadi perancangan yang kita buat ini mengambil kira pembinaan dan pembukaan kawasan perumahan baharu di sini dan jumlah penduduk yang akan meneruskan pendidikan di peringkat menengah akan meningkat.

“Tentunya ini merupakan berita baik untuk penduduk Sepang serta Kota Warisan kerana sebelum ini jarak untuk mereka hantar anak ke sekolah pun agak jauh dan sekolah sedia ada pun sudah padat,” ujarnya.

Jelas Radzi, pembinaan SMK Kota Warisan dijangka akan bermula sejurus selepas surat setuju terima (SST) diselesaikan sekitar awal Disember ini dan siap sepenuhnya pada September 2025.

Katanya lagi, dengan keluasan 4.85 hektar, sekolah berkenaan bakal mempunyai sebanyak 42 buah bilik darjah yang mampu menempatkan di antara 30 hingga 35 murid selain sebuah padang dan gelanggang sukan.

“Kita yakin ia akan memberi ruang yang cukup baik untuk penduduk sekitar menghantar anak-anak mereka dengan fasiliti yang lebih baik dan selesa.

“Akan ada satu bangunan khusus untuk murid-murid berkeperluan khas kerana kita tahu kemudahan ini amat penting, kalau tidak nanti ibu bapa kena hantar anak mereka ke sekolah yang jauh pula.

“Sekiranya sekolah yang berdekatan tidak mempunyai kelengkapan atau kemudahan untuk murid berkeperluan khas maka itu diberi keutamaan bagi SMK Kota Warisan apabila siap nanti akan disediakan kompleks untuk murid berkeperluan khas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI