fbpx

Putrajaya sedia loji insinerator lupus sisa makanan pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADLUN Mak Ujud (tengah) pada sidang akhbar selepas Program Pertandingan Cipta Bahan Kitar Semula 2022 di Putrajaya. FOTO AMREE AHMAD

PUTRAJAYA – Segala sisa makanan yang tidak dapat dikitar semula di Putrajaya bakal dilupuskan menerusi sebuah loji insinerator moden di Presint 20 yang dijangka siap menjelang 2025.

Berita gembira tersebut diumumkan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud sebagai mengulas usaha dilakukan agensi itu terhadap pelupusan sisa pepejal domestik.

Katanya, pembinaan loji itu yang akan dikenali sebagai FIKS 2.0 akan meliputi kawasan seluas lebih dua hektar dengan kos keseluruhannya dianggarkan RM50 juta.

“Langkah ini susulan loji di Selangor tidak lagi akan menerima sisa basah dari Putrajaya dan FIKS 2.0 turut sejajar dengan usaha PPj ke arah misi bandar lestari rendah karbon.

“Insya-Allah, loji baharu itu akan dibina bersebelahan tapak Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) yang diuruskan oleh sendiri pihak Alam Flora Sdn. Bhd.,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan merasmikan Program Pertandingan Cipta Bahan Kitar Semula 2022 di FIKS di sini.

Ketika ini, loji FIKS tersebut yang bernilai RM12 juta dan dirasmikan pada 2020 lalu itu mampu memproses sehingga 100 tan sisa pepejal kitar semula jenis kering dari Putrajaya setiap hari.

Bagaimanapun, baki sisa jenis basah terutamanya makanan yang tidak boleh diproses akan dibuang di tapak pelupusan sanitari di Selangor antaranya Tanjong Duabelas di Kuala Langat.

Pada masa ini, ujar beliau, projek berkenaan sedang dalam peringkat penilaian impak alam sekitar (EIA) oleh pihak Jabatan Alam Sekitar dan kemungkinan boleh beroperasi dua tahun lagi.

“Insinerator khusus untuk sisa makanan itu lebih mesra alam dengan tiada masalah bau busuk dan isu air larut resap yang sering berlaku di tapak pelupusan sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI