KUALA PILAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan seekor tapir di kilometer 16, Jalan Seremban – Kuala Pilah, dekat Ulu Bendul, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.15 malam membabitkan seorang lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS150.
Menurutnya, sedang bergerak terus dari arah Seremban hendak menuju ke Kuala Pilah seorang diri.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba seekor Tapir telah melintas jalan, lalu motosikal tersebut tidak sempat mengelak terus melanggar Tapir tersebut dan tercampak ke tepi jalan.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dibahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amran berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala pilah bagi bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE