fbpx

Mahkamah: Kerajaan mohon lucut wang tunai, aset bekas pegawai kanan 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memohon untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM156,500, sebuah banglo, kereta dan kedai pejabat milik bekas Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Casey Tang Keng Chee.

Notis usul melucut hak harta itu difailkan kerajaan melalui Pendakwa Raya terhadap Casey Tang, 57, pada 2021 yang mana bagi menuntut harta berkenaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Berdasarkan notis usul lucut hak itu, kereta yang mahu dilucut hak ialah jenis Subaru XV manakala banglo dan kedai pejabat itu terletak di Puchong.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan pada 12 Oktober depan bagi serahan dokumen kepada pihak ketiga.

Kerajaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous.

Untuk rekod Casey Tang yang melarikan diri ke luar negara dan dikehendaki pihak berkuasa berhubung pembabitan dalam skandal 1MDB, dikatakan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Casey Tang membayar cukai pendapatan RM6.8 juta kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat pada 21 selepas penghakiman ingkar kehadiran difailkan oleh LHDN bagi pihak kerajaan selaku plaintif.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Keng Chee dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Menurut laporan itu, kedua-dua mereka sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah, salah laku pejabat awam, pengubahan wang haram dan kegiatan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI