BANGKOK – Sebuah kuil pagoda purba dan bersejarah di Chiang Mai, utara Thailand berusia 500 tahun runtuh petang semalam ketika ribut kuat melanda bandar itu, lapor laman berita Coconut News.
Menurut laporan, garis-garis retakan telah lama kelihatan pada kuil yang terletak di Wat Sri Suphan itu sebelum ia runtuh sekitar pukul 5 petang semalam (waktu tempatan).
Detik kuil itu runtuh dirakam oleh beberapa saksi di lokasi kejadian. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Punca kuil itu runtuh disyaki disebabkan hujan lebat sepanjang minggu dengan kehadiran Taufan Noru yang membadai negara itu.
Ketua kuil, Phra Kru Pitak Sutthikhun berkata, dia terkejut dan terkilan dengan kejadian tersebut.
Ini kerana pagoda itu telah menunjukkan garis keretakan selama bertahun-tahun tetapi tidak menerima sebarang usaha pengubahsuaian yang sewajarnya.
Kuil itu dibina pada tahun 1500 di bawah pemerintahan Raja Mueang Kaew daripada Dinasti Mangrai dan merupakan salah satu kuil Buddha tertua di Chiang Mai. – Agensi