PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah proaktif meneliti kepelbagaian aspek industri rawatan kecantikan melibatkan permintaan pengguna, rantaian nilai, penggunaan teknologi dalam trend semasa dan keselamatan pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melihat kepada potensi industri tersebut yang mampu memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, satu sesi libat urus bersama United Kingdom’s Vocational Training Charitable Trust (VTCT) telah diadakan baru-baru ini.
“Dalam perbincangan itu, antara aspek penting yang diberi perhatian adalah pendaftaran pengusaha pusat kecantikan dan pekerja dengan memastikan mereka mendapat latihan kemahiran kecantikan daripada badan yang diiktiraf.
“Selain itu, Memastikan mesin dan peralatan yang digunakan adalah peralatan yang didaftarkan, pengendalian kursus kemahiran, modul dan pensijilan dari badan yang diiktiraf, melindungi pengguna melalui perlindungan insurans dan bahan-bahan dalam rawatan adalah yang disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, VTCT adalah sebuah pusat latihan kecantikan yang diiktiraf oleh Ofqual iaitu sebuah agensi kerajaan UK yang melaporkan secara terus kepada Parlimen UK bagi urusan kelayakan dan perundangan melibatkan latihan vokasional termasuk latihan rawatan kecantikan.
Tambah beliau, kesemua aspek berkenaan telah dibincangkan bersama VTCT untuk melihat bagaimana ia boleh diaplikasikan di negara ini selain memperhalusi keperluan perundangan dan kawal selia secara pentadbiran.
Katanya, ia bertujuan memastikan industri kecantikan di Malaysia dapat memberi keyakinan kepada pengguna melalui rawatan yang selamat.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam sektor perdagangan dalam negeri dan kebajikan pengguna, saya berkongsi keprihatinan yang sama dan adalah menjadi perancangan kementerian untuk mengawal selia sektor kecantikan bagi memastikan industri ini dilaksanakan dengan teratur dan sistematik demi keselamatan pengguna.
“KPDNHEP sentiasa menjalankan sesi libat urus bersama pemain industri pusat kecantikan dan KKM bagi mencari kaedah pengawal seliaan yang terbaik ke atas industri kecantikan dengan jangkaan nilai pasaran bernilai lebih dari USD999 juta menjelang 2026,” ujarnya.
Justeru beliau berharap kesemua usaha yang dijalankan dapat membantu memperkukuhkan industri kecantikan yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada negara tetapi juga menjamin kualiti keselamatan pada tahap yang tinggi kepada pengguna. – KOSMO! ONLINE