RUMAH tangga bahagia pasangan selebriti popular Indonesia, Lesti Kejora dan suaminya Rizky Billar tiba-tiba dilanda badai dan menjadi perhatian seluruh peminat di Indonesia ketika ini.
Semuanya gara-gara Lesti membuat laporan polis selepas menjadi mangsa kekerasan Rizky akibat diduga berlaku curang di belakang isterinya.
“Korban (mangsa), Lesti diduga mengetahui suaminya, Rizky Billar selingkuh,” kata Ketua Bidang Humas Polda Metro Jaya, Kombes Endra Zulpan.
Laporan polis dilakukan Lesti pada Rabu lalu dan disahkan oleh Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jakarta Selatan, AKP Nurma Dewi.
Kata Nurma, selepas mengetahui kecurangan suaminya, Lesti meminta Rizky menghantarnya pulang ke rumah orang tuanya.
Bagaimanapun, Rizky sangat emosi sebelum bertindak di luar kawalan apabila dilaporkan menghempas dan mencekik leher Lesti berulang kali.
“Terlapor (Rizky) emosi kerana Lesti minta dipulangkan ke orang tuanya. Dia menolak korban dan melemparkannya ke atas katil serta mencekik Lesti sehingga jatuh ke lantai.
“Perkara tersebut berlaku berulang kali. Kemudian pada pukul 10 malam, terlapor cuba menarik tangan korban ke arah bilik mandi dan menghempasnya ke atas lantai,” katanya memetik laporan polis yang dibuat Lesti ke atas Rizky.
Susulan kejadian yang berlaku, Lesti dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan, leher dan tubuh sehingga memaksanya membuat laporan polis terhadap suaminya.
Kes tersebut disiasat mengikut Pasal 44 Undang-Undang No. 23 Tahun 2004 tentang Penghapusan Keganasan Rumah Tangga (UU PKDRT) dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara sehingga 15 tahun sekiranya mangsa mengalami luka berat ataupun meninggal dunia.
Sejurus laporan tersebut mencetuskan kekecohan dalam kalangan peminat, media sosial dibanjiri dengan video-video tentang kontroversi tersebut.
Malah ada netizen mula melakukan kerja penyiasatan dengan membongkar identiti wanita yang didakwa sebagai selingkuhan Billar.
Hasil diselidiki, wanita itu merupakan seorang aktres dan model terkenal berusia 28 tahun tetapi setakat ini, netizen masih belum dapat mengesahkan sama ada benar dia merupakan orang ketiga dalam rumah tangga Lesti dan Rizky.
Tetapi ada sesetengahnya percaya, jika benar wanita itu adalah orang ketiga, semuanya berlaku kerana dia dan Rizky pernah sama-sama terlibat dalam sinetron berjudul Jodoh Wasiat Bapa Babak 2.
Lesti dan Rizky mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar.
Sebelum berkahwin, mereka merupakan pasangan selebriti yang dijodoh-jodohkan oleh netizen kerana mengalami pengalaman sama iaitu putus cinta.
Mereka akhirnya menjadi dekat antara satu sama lain sehingga memutuskan bernikah tahun lalu. – KOSMO! ONLINE