PETALING JAYA – Kumpulan Dolla berjanji akan lebih berhati-hati dan mengambil iktibar atas penampilan seksi sehingga menimbulkan kemarahan ramai.
Mewakili ahli kumpulannya, Sabronzo juga mengakui terlepas pandang soal pemakaian kerana terlalu memikirkan soal persembahan.
“Kami belajar daripada kesilapan dan kami juga akan lebih berhati-hati dalam aspek penampilan selepas ini.
“Kami minta maaf dan akan belajar untuk tidak mengulanginya lagi,” ujarnya.
Dolla sebelum ini dihentam hebat selepas berpenampilan seksi ketika menjayakan acara Good Vibes Weekender.
Sabronzo atau nama sebenar Wan Sabrina Wan Rusli mengakui perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja sehingga mencetuskan kemarahan ramai.
“Isu seksi ini, mungkin kami terlepas pandang.
“Agak terkejut dengan reaksi ramai tetapi kami memilih untuk move on dan menjadi individu lebih baik,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis pelancaran single terbaharu Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat duet bersama Naim Daniel di sini hari ini.
Berkongsi kepada umum, busana mencolok mata yang digayakan merupakan hasil pemilihan daripada penata gaya.
Sebelum ini, Dolla memaklumkan pihak pengurusan mereka, Universal Music akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut.
Terdahulu, nama Dolla termasuk Sabronzo dikecam ramai susulan tampil dengan imej dan busana mencolok mata pada sebuah festival muzik yang berlangsung di sebuah taman tema air popular pada minggu lalu.
Rata-rata netizen berpendapat Dolla tidak mencerminkan identiti Malaysia yang sangat menekankan aspek penampilan dalam setiap persembahan pentas.
Malah, Dolla juga dikatakan lebih seksi berbanding penyanyi luar yang turut sama lakukan persembahan pada acara sama.
Selain Sabronzo, Dolla yang terkenal menerusi lagu Dolla Make You Wanna turut dianggotai Angel, Tabby dan Syasya. – KOSMO! ONLINE