fbpx

HKL mohon inisiatif KKM guna robot untuk rawatan ganti sendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pakar Perunding Kanan Ortopedik Hospital Napean Australia, Dr. Rami M. Sorial (dua kiri) melakukan demonstrasi pembedahan lutut dengan bantuan robot yang menggunakan sistem Robotic Surgical Assistant (ROSA) pada program '1st Robotic Assisted Live Sugery Workshop' di HKL hari ini. Gambar FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) diminta untuk mewujudkan inisiatif bagi membolehkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) meneruskan penggunaan robot bagi rawatan pembedahan penggantian sendi.

Pakar Bedah Ortopedik HKL, Dr Kunalan Ganthel@Annamalai berkata, robot yang menggunakan sistem Robotic Surgical Assistant (ROSA) daripada sebuah syarikat swasta di Amerika Syarikat itu mampu mempertingkatkan rawatan pembedahan penggantian sendi menjadi lebih cepat dan tepat hampir 100 peratus.

“Robot yang ada ni cuma dipinjamkan di HKL sejak Jun lalu selama setahun dan setakat ini kita berjaya jalankan 20 pembedahan menggunakannya termasuk untuk kes-kes kompleks dan ia dapat tingkatkan ketepatan sehingga 98 peratus berbanding cara konvensional, 94 ke 95 peratus.

“Kami harap KKM dapat wujudkan inisiatif supaya penggunaan robot ini dapat diteruskan di HKL serta tiga lagi hospital yang menjalankan rawatan kompleks iaitu di Hospital Umum Sarawak (SGH), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Dr. Kunalan yang juga merupakan Ketua Pembedahan Penggantian Sendi Unit HKL berkata, kos robot yang dianggarkan bernilai RM3 juta ke RM6.5 juta itu memberi respon yang sangat positif kepada pesakit.

“Pembedahan penggantian sendi secara keseluruhan adalah cara terbaik untuk merawat artritis atau radang sendi. 80 peratus pesakit yang buat pembedahan ini berpuas hati dengan keputusan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena penganjuran program ‘1st Robotic Assisted Live Surgery Workshop’ di HKL, hari ini.

Menerusi program tersebut, HKL muncul sebagai hospital pertama menganjurkan kursus pembedahan penggantian sendi robotik seperti ini.

Sementara itu Ketua Latihan SubKepakaran Arthroplasti KKM HRPZ 11, Dr. Mohd Yusof Ibrahim berkata, penggunaan robot ini merupakan evolusi terkini dalam rawatan arthroplasti dan boleh mengurangkan tempoh pembedahan sekitar 20 peratus berbanding rawatan konvensional.

“Selain boleh atasi hingga 10 peratus masalah ketepatan sebelum ni tempoh pembedahan pun boleh dikurangkan kerana ada ‘step’ lama yang kita boleh langkau.

“Warga emas di Malaysia sekarang semakin bertambah dan dianggarkan 10 peratus daripadanya memerlukan pembedahan artoplasti ni.

“Dibandingkan negara jiran seperti Singapura dan Thailand, kita jauh ketinggalan dari segi teknologi dalam rawatan ni tapi di Malaysia sudah ada hospital-hospital swasta yang dah mula guna (robot),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI