PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Acara debat umum pada Perhimpunan Agung PBB tahun ini menyaksikan hanya 22 daripada 193 pemimpin dunia yang berucap di belakang podium hijau terdiri daripada golongan wanita, lapor laman berita Wion News.
Angka itu menggambarkan kelemahan perwakilan wanita dalam kedudukan kepimpinan secara global serta arena politik antarabangsa.
Sebaliknya, angka pemimpin dunia yang terdiri daripada kaum lelaki adalah 171, hampir lapan kali ganda lebih tinggi dalam perhimpunan yang ke-77 kali ini.
Dari segi pecahan, hanya empat daripadanya merupakan presiden wanita, lima perdana menteri, seorang memegang jawatan peringkat naib presiden, lapan peringkat menteri luar, satu peringkat menteri negeri bagi menteri luar dan tiga peringkat kedutaan.
Bilangan paling ramai pemimpin wanita adalah dari Benua Eropah dengan tujuh orang, dan diikuti dengan rantau Afrika sebanyak empat orang, Asia dengan empat, Pasifik/Oceana dengan tiga orang, rantau Amerika dua orang dan masing-masing seorang dari Australia serta Caribbean.
Antara yang berucap ialah Presiden Slovakia, Zuzana Caputova, Perdana Menteri Britain, Liz Truss, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan Menteri Luar Indonesia, Retno Lestari Priansari Marsudi.
Pemimpin termuda yang menyampaikan ucapan pada persidangan tahun ini juga merupakan seorang wanita, iaitu Menteri Luar Iceland, Thordis Kolbrun Reykfjord Gylfadottir yang berusia 34 tahun. – Agensi