fbpx

Glasier di Switzerland mencair pada kadar tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMEJ dari udara yang dirakam pada 13 September lalu di atas Les Diablerets memaparkan laluan Tsanfleuron kehilangan ais yang melindunginya selama 2,000 tahun. - AFP

GENEVA, SWITZERLAND – Satu laporan terbaharu mendedahkan bahawa glasier di Switzerland kehilangan enam peratus daripada volum keseluruhannya tahun ini, kesan daripada fenomena musim sejuk yang kering serta gelombang haba musim panas, sekali gus memecahkan rekod pencairan ais sebelumnya.

Laporan hasil kajian Suruhanjaya Cryospheric (CC) di Akademi Sains Switzerland itu mendedahkan skala drastik pencairan glasier itu yang dilihat kini semakin buruk.

“2022 merupakan satu tahun malapetaka buat glasier di Switzerland. Semua rekod pencairan ais telah dipecahkan,” kata CC sambil menambah bahawa pencairan sebanyak dua peratus dalam 12 bulan sebelum ini dianggap sebagai ‘ekstrem’.

“Sebanyak 3 kilometer padu ais atau 3 trilion liter air telah cair,” demikian menurut laporan tersebut.

Menurut Ketua Pemantauan Glasier di Switzerland, Profesor Matthias Huss, adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk memperlahankan kadar pencairan dalam tempoh waktu terdekat.

“Sekiranya pelepasan gas karbon dioksida dikurangkan dan iklim dapat dilindungi, ia mungkin dapat menyelamatkan sekitar satu pertiga daripada volum glasier di Switzerland dalam keadaan terbaik.

“Jika tidak, negara ini akan kehilangan hampir semua (glasier) menjelang hujung abad ini,” katanya yang mendokumentasikan perubahan glasier di Banjaran Alps serta diselaraskan oleh CC.

Pada permulaan tahun, litupan salji di Banjaran Alps agak nipis sebelum sejumlah besar debu pasir bertiup dari Gurun Sahara antara Mac dan Mei lalu, yang menjadikannya mendap di permukaan.

Salji yang tercemar itu kemudian menyerap lebih banyak haba serta cair dengan lebih pantas, menghalang glasier daripada salji yang melindunginya pada awal musim panas di Eropah.

Haba berterusan antara Mei hingga September seterusnya memusnahkan ais glasier tersebut.

Menjelang pertengahan bulan ini, lapisan ais yang dahulunya tebal yang melitupi laluan antara glasier Scex Rouge dan Tsanfleuron telah cair sepenuhnya, mendedahkan batu kosong yang beku sejak sekurang-kurangnya ketika era Rom.

Keadaan serius itu dibuktikan dalam insiden runtuhan bahagian glasier Marmolada di Banjaran Alps di Itali pada awal Julai lalu yang telah meragut nyawa 11 orang.

Menurut Huss, air cair glasier pada Julai dan Ogos sahaja mampu menyediakan air yang mencukupi tahun ini untuk mengisi sepenuhnya semua takungan di Banjaran Alps.

“Namun, jika Switzerland mengalami keadaan meteorologi seperti tahun ini dalam 50 tahun akan datang, impaknya akan menjadi lebih teruk.

“Ini kerana dalam 50 tahun, kita meramalkan hampir semua glasier akan hilang sekali gus tidak dapat menyediakan air ketika musim panas yang kering,” jelasnya. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI