fbpx

Doktor, pengamal perubatan mahu terlibat sama dalam PSSC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perbincangan saintifik melibatkan mereka yang mahir dalam bidang perubatan perlu turut diambil perhatian oleh kerajaan. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pengamal perubatan, doktor dan profesional kini pula bersuara melahirkan pandangan dan kebimbangan mereka terhadap cadangan Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 (RUU Tembakau Baharu 2022).

Satu sesi  perbincangan mengenainya telah dianjurkan oleh Malaysia Society for Harm Reduction (MHSR), Persatuan Insaf Murni Malaysia (IMAM), Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) dan Advanced Centre for Addiction Treatment Advocacy (ACATA).

 Presiden MSHR, Professor. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pihaknya prihatin terhadap cadangan langkah-langkah, impak dan pelaksanaan rang undang-undang itu, namun, mereka  masih belum dijemput dan dilibatkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) sejak mesyuarat Parlimen pada bulan Ogos yang lalu. 

“Memandangkan rang undang-undang ini akan dibentangkan semula, kami berharap agar pandangan kami dipertimbangkan berdasarkan bukti saintifik dan supaya PSSC mengesyorkan peraturan yang lebih pragmatik untuk menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang Tembakau yang baharu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

 Turut serta dalam perbincangan saintifik itu adalah Penasihat MSHR, Professor. Dr. Mohamad Hussain Habil; Presiden IMAM,  Dr. Khafidz Mohd. Ishak dan Presiden ACATA, Dr. Arifin Fii. 

Dalam perbincangan tersebut,terdapat tiga cadangan bagi rangka kerja kawalan tembakau dan produk nikotin berpandukan sains untuk RUU tersebut iaitu  komponen Dasar Penamat Generasi (GEG) tidak seharusnya dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Tembakau Baharu 2022 sehingga ia disemak semula dengan menggabungkan prinsip pengurangan kemudaratan yang disokong oleh bukti saintifik.

Gambar hiasan

Cadangan kedua adalah pendekatan larangan melalui denda dan hukuman dalam Rang Undang-undang Tembakau Baharu 2022 harus disingkirkan dan ketiga adalah pendekatan GEG perlu dilaksanakan melalui berbilang serampang iaitu pengawalan dan pendidikan selain strateginya juga dilaksanakan secara berfasa.

Satu surat petisyen rasmi yang menggariskan ketiga-tiga cadangan itu telah dihantar kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar PSSC akan menggunakan rangka kerja yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Tembakau baharu yang dijadualkan untuk dibentangkan semula di sesi persidangan Parlimen pada bulan Oktober ini.

Selain itu,  Presiden IMAM, Dr. Khafidz Mohd Ishak berharap kerajaan harus mempertimbangkan peranan bukti saintifik dalam pengurangan kemudaratan tembakau untuk berhenti merokok. 

“Kita mesti merebut peluang ini untuk meletakkan inovasi dan pengesahan saintifik di barisan hadapan dalam penggubalan dasar kesihatan awam,” ujarnya. 

Berpendapat sama dengan Khafidz,  Presiden ACATA, Dr. Arifin Fii juga menerangkan, pihaknya memuji komitmen kerajaan dalam mengurangkan kelaziman merokok di negara ini, bagaimanapun, larangan menyeluruh yang merangkumi produk pengurangan kemudaratan adalah sesuatu yang kurang produktif. 

Sementara itu, Presiden FPMPAM, Dr. Steven Chow pula mengulas, sains menunjukkan bahawa pengurangan kemudaratan tembakau boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan kelaziman merokok. 

“Program pengurangan kemudaratan tembakau yang bermakna dapat membantu perokok semasa dan bukannya meletakkan mereka sebagai penjenayah.” 

Menutup sesi perbincangan saintifik ini, Profesor Dr. Hussain menekankan kepentingan Malaysia dalam meneliti rang undang-undang itu dengan teliti.

 “Malaysia harus mempertimbangkan pendekatan berbilang serampang dalam strategi GEG dan ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dalam beberapa bulan sahaja kerana  pelan yang teliti dan terperinci perlu difikirkan dengan baik,” ujarnya. 

“Kita boleh belajar dari negara lain seperti New Zealand dan United Kingdom yang telah mengambil pendekatan berperingkat untuk mengurangkan kelaziman merokok, bermula dengan peraturan tembakau yang komprehensif dan pendidikan secara besaran,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI