BARCELONA – Barcelona dilaporkan bersedia untuk membuka pintu bagi mendapatkan semula khidmat bekas pemain, Lionel Messi selepas kedudukan kewangan kelab berkenaan menunjukkan pemulihan positif menjelang musim depan.
Sebagai rekod, Messi telah berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) tahun lalu selepas kontraknya berakhir apabila pengurusan The Catalans tidak mampu menawarkan kontrak baharu susulan kemelut kewangan.
Timbalan Presiden Barcelona, Eduard Romeu mengakui peluang untuk Messi kembali beraksi di Camp Nou kembali cerah apabila ekonomi kelab semakin pulih sekali gus mampu menawarkan gaji yang dimahukannya.
“Saya lihat kedudukan kewangan kami akan pulih tahun depan dan tidak mempunyai masalah buat pasukan menawarkan kontrak baharu buatnya memandangkan kontraknya bersama PSG juga akan berakhir musim ini.
“Kini, segala-galanya terpulang kepada Messi dan sudah pasti barisan kejurulatihan juga perlu meneliti sama ada dia masih sesuai untuk mewakili pasukan atau sebaliknya.
“Cuma, tiada siapa boleh menafikan dia adalah ikon pasukan kami selepas bersama hampir 20 tahun. Ini adalah ‘rumahnya’ dan peluang sentiasa terbuka untuk dia kembali,” kata Romeu.
Barcelona berjaya mendapatkan beberapa tajaan mewah daripada syarikat antarabangsa tahun ini sekali gus membolehkan mereka menandatangani beberapa pemain Robert Lewandowski, Raphinha dan Jules Kounde pada jendela perpindahan lepas. – AGENSI