fbpx

Azi selamat, kini berada di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azi

KOTA BHARU – Seorang wanita ejen jualan kosmetik dikenali sebagai Azi,36, kini berada dalam keadaan selamat semasa pulang ke negara ini selepas dibawa lari ke Thailand selama lebih dua minggu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa kini selamat di Kuala Lumpur dan urusan membawa pulang mangsa ke negara ini juga tanpa melibatkan pembayaran wang tebusan.

“Mangsa kini berada dalam keadaan selamat di Kuala Lumpur. Setakat ini, mangsa dibawa pulang ke Malaysia tanpa melibatkan apa-apa bayaran.

“Segala keterangan dan maklumat lanjut mengenai kes ini lebih sesuai dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman. Kenyataan daripada Ketua Polis Negara sudah jelas apabila beliau memaklumkan mangsa dapat dikesan melalui kerjasama erat Polis Diraja Malaysia dan Polis Diraja Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, polis akan menjalankan tangkapan lain yang terlibat dalam kes ini meskipun mangsa berjaya diselamatkan.

Katanya, sindiket dadah yang dipercayai terlibat dalam kes itu akan disiasat secara berterusan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang merupakan ejen jualan kosmetik dibawa lari dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat dekat sini ke Thailad pada 13 September lalu.

Siasatan polis mendapati, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik.

Keadaan itu dipercayai menjadi punca utama kepada penculikan Azi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan semalam berkata, mangsa diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa Thailand dan kini berjaya dibawa pulang ke Malaysia.

Menurutnya, lokasi keberadaaan mangsa di negara itu dapat dikesan melalui kerjasama erat Polis Diraja Malaysia dan Polis Diraja Thailand.

“Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini.

“Dalam kes ini, seramai tujuh lelaki tempatan telah ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI