PETALING JAYA – Pembayaran pengagihan pendapatan untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 adalah berjumlah RM573.66 juta.
,Pengagihan itu akan memanfaatkan 551,685 pemegang unit yang memiliki 15.30 bilion unit.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), secara keseluruhannya, dana ini merekodkan pendapatan kasar berjumlah RM757.81 juta dan RM575.87 juta pendapatan bersih direalisasi di sebalik kebimbangan kemelesetan dan gangguan rantaian bekalan global yang menjejaskan prestasi pasaran global.
ASNB adalah syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada hasil keuntungan yang direalisasi, dividen serta lain-lain pendapatan daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.
Strategi kepelbagaian yang dilaksanakan oleh dana ini terus menunjukkan hasil yang positif dengan ekuiti antarabangsa menyumbang 40.9 peratus kepada pendapatan kasar keseluruhan dana.
“Pengagihan pendapatan ASM 3 adalah bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 3.75 peratus, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.02 peratus iaitu sebanyak 173 mata asas bagi tahun kewangan setakat 22 September 2022.
“Dalam tempoh yang sama, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut sebanyak 6.41 peratus, daripada 1,537.80 mata pada penutup 30 September 2021 kepada 1,439.16 mata pada 22 September 2022 apabila indeks mula mencatatkan aliran keluar pelaburan asing walaupun situasi pandemik Covid-19 semakin bertambah baik,” ujarnya.
Kenyataan itu menambah, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.
Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2022.
Urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platfom digital dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 30 September ini. -KOSMO! ONLINE