fbpx

Warga emas terharu terima rumah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahimah bersyukur apabila memperoleh sebuah rumah baharu menerusi Program Rumah Dhuafat selepas hampir lima tahun menunggu. - Foto oleh ROHANA ISMAIL

TUMPAT – Seorang wanita warga emas tidak dapat menahan sebak apabila menerima sumbangan rumah baharu di Kampung Kutan Tengah di sini hari ini menerusi Program Rumah Dhuafat selepas hampir lima tahun menunggu.

Rahimah Salleh, 71, berkata, dia merupakan salah seorang daripada penerima Rumah Dhuafat yang merupakan usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, dia bersyukur dan menyifatkan rumah tersebut sebagai satu hadiah yang tidak terhitung nilainya terutamanya semasa meniti usia senja ketika ini.

“Saya sudah tidak perlu bimbang dengan keadaan lantai rumah reput dan bumbung bocor selepas ini. Rumah ini cukup sempurna untuk tempat tinggal saya bersama dua anak, menantu dan enam cucu.

“Rumah ini lengkap dengan tiga buah bilik dan tandas yang selesa. Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang meluluskan permohonan untuk mendapatkan bantuan rumah ini yang dibuat sejak lima tahun lalu melalui pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan,” katanya kepada pemberita selepas program Penyerahan Rumah Dhuafat DUN Pasir Pekan di Kampung Kutan Tengah di sini hari ini.

Program itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan.

Menurut Rahimah yang merupakan ibu tunggal, rumah tersebut mula dibina pada bulan puasa tahun lalu dan siap sepenuhnya penghujung bulan Ogos tahun ini.

Katanya, sejak kematian suami 16 tahun lalu, dia membesarkan anak-anak dengan mencari rezeki sebagai pekerja kantin sekolah.

Sementara itu, Ahmad berkata, sebanyak 733 buah Rumah Dhuafat telah dibina oleh kerajaan negeri dalam tempoh enam tahun bermula dari 2017.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut,sebanyak RM31.3 juta telah diperuntukan oleh kerajaan dalam membantu membina rumah berkenaan yang membabitkan kos RM55,000 setiap unit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI