fbpx

Selangor siaga 80 peratus hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (dua kiri) bersama agensi lain pada program persiapan menghadapi banjir Selangor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Kesiapsiagaan kerajaan negeri telah mencapai 80 peratus bagi menghadapi kebarangkalian terjadinya banjir, susulan berlakunya Monsun Timur Laut pada bulan November ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mengambil iktibar daripada bah yang berlaku di beberapa kawasan di negeri itu pada tahun lalu.

“Kerajaan negeri telah mengeluarkan surat arahan kepada semua agensi Persekutuan dan negeri ini supaya bersiap siaga mulai sekarang (sekiranya banjir terjadi).

“Kita nak elak nyawa terkorban seperti banjir lalu, yang mana ada lima orang terkorban dalam peristiwa itu,” katanya selepas menghadiri program Latihan Amal dan Simulasi Menghadapi Bencana Banjir Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini.

Sebelum ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mendedahkan hasil maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan sebanyak 307 kawasan di sembilan daerah di Selangor dikenal pasti berisiko dilanda banjir berikutan fenomena Monsun Timur Laut dan air pasang besar.

Jumlah itu meliputi 52 kawasan ‘hotspot’ banjir yang melibatkan semua daerah kecuali di Hulu Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri telah menyediakan dana berjumlah RM5 juta untuk digunakan sekiranya berlakunya banjir.

Ujarnya, daripada keseluruhan dana itu sebanyak RM4 juta disumbangkan oleh orang ramai melalui tabung bagi bantuan Covid-19 pada tahun lalu dan RM1 juta pula adalah peruntukan kerajaan negeri sendiri.

“Dijangka 15,972 petugas daripada 67 agensi kerajaan pusat dan negeri akan bertugas sekiranya banjir besar berlaku.

“Saya harap operasi menyelamat dapat berjalan lancar dengan segala persiapan yang telah dibuat semua agensi ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI