CORVALLIS, OREGON – Sebuah robot yang dibangunkan oleh Universiti Negeri Oregon (OSU) memecah Guinness World Records dengan berlari sejauh 100 meter menggunakan dua kaki dalam masa kurang 30 saat, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Kolej Kejuruteraan OSU mengumumkan robot yang dibangunkan fakulti tersebut serta dihasilkan oleh syarikat di bawah universiti itu, Agility Robotics, memecah rekod 100 meter terpantas oleh robot dwipedal.
Robot digelar Cassie itu melakukan cubaan memecah rekod tersebut di stadium Whyte Track and Field Center di OSU serta menamatkan larian 100 meter dalam masa 24.73 saat.
Cassie sebelum ini berjaya berlari sejauh 5 kilometer (km) pada 2021 dalam masa hanya 53 minit.
Pasukan pembangunan robot berkenaan berkata, Cassie merupakan robot dwipedal pertama yang menggunakan pembelajaran mesin untuk mengawal gaya pergerakan di kawasan luar.
“Kami telah membina persefahaman ini bagi mencapai rekod dunia itu dalam tempoh beberapa tahun lalu, berlari sejauh 5 kilometer dan naik turun tangga.
“Kaedah pembelajaran mesin telah lama digunakan untuk pengecaman corak seperti pengecaman imej, namun menjana tingkah laku kawalan untuk robot adalah sesuatu yang baharu dan berbeza,” kata siswazah yang mengetuai projek rekod dunia tersebut, Devin Crowley. – Agensi