MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan saman terhadap 252 pemandu atas kesalahan memotong barisan dalam Op Rentas Sempadan Wilayah Selatan.
Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Sharif berkata, kesalahan tersebut adalah penyumbang terbesar terhadap jumlah saman dikeluarkan sepanjang tiga hari operasi dijalankan.
Katanya, operasi menyaksikan sebanyak 662 kenderaan diambil tindakan daripada 956 buah yang diperiksa di tiga lokasi utama iaitu Cheng Height, Bertam Malim dan Padang Keladi.
“Dalam Op Sempadan membabitkan kolaborasi JPJ Negeri Sembilan dan Johor, kesalahan memotong barisan sebelah kiri adalah yang paling tinggi dikesan.
“Trafik sesak kerana jumlah kenderaan meningkat pada cuti hujung minggu, jadi ramai pemandu yang bertindak memotong barisan kerana tidak sabar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas Op Rentas Sempadan Wilayah Selatan berhampiran Pintu Gerbang Ayer Keroh di sini, hari ini.
Jelasnya, tindakan bagi kesalahan itu diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mengulas lanjut Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 502 saman telah dikeluarkan untuk kesalahan lain iaitu tidak mematuhi lampu isyarat merah (121), tidak memakai topi keledar (15) dan tidak memakai tali pinggang keledar (26).
“Beberapa kesalahan lain membabitkan memotong di garisan berkembar sebanyak tiga saman, menggunakan lorong kecemasan (dua), menggunakan telefon bimbit (lima), membawa lebih muatan (131) dan membawa muatan bahaya (satu),” ujarnya.