MELAKA – Orang ramai yang melihat keberadaan kereta peronda polis (MPV) di sekitar kawasan sekolah di negeri ini diminta tidak panik dan mengaitkannya dengan kes penculikan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hal ini kerana masyarakat cenderung untuk mengaitkan sesuatu dilihat dengan kes-kes tertentu yang hangat diperkatakan.
“Rondaan ini adalah tugas rutin, itu memang kerja polis dan tetap dilakukan meskipun tiada kes dilaporkan.
“Masyarakat kadang-kadang apabila ternampak saja polis meronda, mereka akan kaitkan dengan isu-isu tertentu dan itu hanya persepsi mereka, jika ada kemusykilan boleh rujuk terus kepada pihak polis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penyerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara tanpa istiadat di Kampung Durian Daun di sini, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan, polis mengesahkan bahawa rakaman suara yang tular melalui aplikasi WhatsApp berkenaan kes kanak-kanak diculik oleh sebuah kereta di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rambai di sini adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semakan mendapati mesej palsu tersebut mula tular pada 27 September 2022 dan turut diulang siar di beberapa platform media sosial.
Dalam perkembangan lain, Zainol memaklumkan, Polis Kontinjen Melaka sudah bersedia menghadapi peralihan fasa Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November depan.
Katanya, beliau telah meminta setiap daerah untuk mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi berkaitan bagi melancarkan proses memberi bantuan dan sebagainya.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengadakan bengkel di mana semua ketua polis daerah membabitkan Negeri Sembilan, Melaka, pegawai-pegawai daerah dan lain-lain agensi bagi menyeragamkan persediaan menghadapi banjir.
“Selain itu, saya mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi bantuan, saya minta mereka tampil untuk berjumpa polis dan maklumkan apa bantuan yang hendak disalurkan dan kita selaraskannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE