PETALING JAYA – Aksi pelakon Emma Maembong bergurau senda sambil digigit suami, Muhammad Shazli Azhar membuatkan pengikutnya dalam Instagram ‘bersemut’ melihat kemesraan mereka berdua.
Malah, aksi ‘gigit menggigit’ itu juga menjadi usikan peminatnya apabila mendakwa tabiat anak sulung mereka, Shariq Gabriel yang pernah menggigit ibu saudaranya iaitu pelakon, Cacha Maembong sewaktu sambutan Aidilfitri lalu kerana mewarisi perangai bapanya.
Menerusi beberapa keping foto yang dimuat naik Emma, 30, dalam Instagramnya, pelakon I Promise Janji Anarki itu berkongsi momen manja bersama Shazli termasuk sekeping foto menunjukkan lelaki itu menggigit dagunya.
“Patutlah anak suka menggigit orang. Mak ayah perangai macam tu,” kata seorang pengguna Instagram.
“Dah tahu mana anak dia dapat tabiat suka gigit orang. Ikut perangai ayah dia rupanya,” ujar seorang lagi pengguna Instagram.
Tingkah laku pasangan suami isteri itu turut mencetuskan perasaan cemburu netizen, malah ada yang segera mahu mendirikan rumah tangga (berkahwin) supaya dapat bermesra dengan pasangan masing-masing.
“Nak kahwin,” komen seorang peminatnya.
“Manisnya. Yang single jangan cemburu,” kata seorang lagi peminatnya.
Sebelum ini, menerusi sebuah video tular yang dirakam pada Hari Raya Aidilfitri lalu, Shariq dilihat telah menggigit tangan Cacha ketika sedang bermaaf-maafan dengan Emma.
Telatah melucukan kanak-kanak berusia dua tahun itu terjadi apabila Cacha telah meninggikan suara terhadap Emma sehingga membuatkannya marah lalu menggigit ibu saudaranya untuk mempertahankan ibunya.
Emma dan suami telah mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan menimang cahaya mata sulung mereka pada 8 November 2020. – KOSMO! ONLINE