fbpx

Mahkamah: Peniaga dituduh terima wang deposit tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norsyazwany dituduh menerima deposit tanpa lesen di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah pada Julai lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A. Rahim, 23, dari Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling dekat sini membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa menerima wang deposit RM3,000 daripada Syakirah Ab. Rahman, 31, tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Perbuatan itu dilakukan di Bank Islam Cawangan Lagenda Heights di sini kira-kira pukul 8.12 malam, 23 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Hafiz Jalaludin.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dan menetapkan 15 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh di Mahkamah Sesyen Sik dekat sini pada 12 September lalu berhadapan dengan 22 pertuduhan menerima wang deposit daripada individu berlainan berjumlah RM876,375 secara tanpa lesen sah sekitar Baling sejak April lalu.

Dia kemudian dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 27 September lalu atas dua pertuduhan menerima wang deposit berjumlah RM110,500 tanpa lesen sah antara Jun hingga Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI