fbpx

Kemurungan, masalah rumah tangga punca guru cuba terjun jambatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai sedang memujuk seorang wanita yang cuba terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu semalam. -Foto IHSAN FACEBOOK HELLO KELANTAN

KOTA BHARU – Masalah rumah tangga dan kemurungan dipercayai menjadi punca seorang guru wanita yang berpurdah bertindak untuk terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, wanita berusia 54 tahun itu tidak menaiki kenderaan semasa kejadian dan berjalan kaki dari arah Kota Bharu ke Tumpat.

Menurutnya, polis menerima maklumat awal mengenai kejadian itu menerusi panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.31 petang.

“Orang awam yang juga saksi kejadian melihat wanita itu berada dalam keadaan mencurigakan semasa berada di atas jambatan tersebut.

“Saksi telah menahan mangsa yang dikatakan cuba membunuh diri dengan terjun dari jambatan itu. Saksi berkenaan membantu wanita terbabit sebelum dia dibawa ke Balai Polis Wakaf Baru, Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, hasil daripada temubual, wanita itu memaklumkan dia cuba untuk membunuh diri disebabkan oleh masalah rumah tangga dan kemurungan.

Katanya, wanita terbabit telah dirujuk ke hospital dan tiada sebarang kecederaan dialaminya dalam kejadian tersebut.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang wanita yang memakai jubah dan berpurdah membatalkan niatnya untuk terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra di sini selepas dipujuk orang awam.

Wanita berusia 54 tahun berasal dari Pengkalan Chepa di sini dipercayai cuba untuk memanjat tembok jambatan itu kira-kira pukul 1.40 tengah hari tadi sebelum diselamatkan pengguna jalan raya.

Saksi, Suhaila Zakaria, 28, berkata sewaktu kejadian dia melalui jambatan itu dengan menunggang motosikal sebelum melihat beberapa lelaki sedang memegang wanita tersebut yang sedang menangis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI