PARIS – Ketua Jurulatih Brazil, Tite mengkritik pemain Tunisia yang melakukan terjahan keras ke atas anak-anak buahnya pada saingan persahabatan yang menyaksikan pasukan melakar kemenangan 5-1 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Parc des Princes itu, skuad Selecao tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan hasil dua gol menerusi Raphina dan satu gol sumbangan Neymar, Richarlison dan Pedro.
Namun, Tite mengakui tidak berpuas hati apabila pemain Tunisia dilihat begitu serius khususnya tonggak pertahanan, Dylan Bronn yang melakukan terjahan ke atas Neymar dengan niat mencederakannya.
“Meskipun kita beraksi di gelanggang berkecuali di Paris, apa yang diharungi pemain seolah-olah di tempat lawan dengan kehadiran ramai penyokong Tunisia. Situasi ini menyaksikan perlawanan persahabatan menjadi begitu kompetitif.
“Namun, saya tidak suka dengan tindakan beberapa pemain pasukan lawan yang sengaja melakukan terjahan bahaya ke atas Neymar sedangkan mereka tahu kami akan bersaing dalam pentas Piala Dunia hanya dua bulan lagi.
“Secara keseluruhan, saya puas dengan keputusan yang diraih pasukan kerana Tunisia adalah negara yang berkualiti terutama apabila mereka sudah mengharungi tujuh aksi antarabangsa tanpa tewas,” katanya.
Brazil dianggap sebagai calon utama menjuarai Piala Dunia edisi 2022 di Qatar berdasarkan ranking mereka selaku negara No. 1 dunia. – AGENSI