KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mencadangkan sebanyak tujuh inisiatif atau dasar-dasar baharu dalam pembentangan Bajet 2023 termasuk skim Program Usahawan Siswazah (Push).
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, skim yang dikenali sebagai Push merupakan salah satu daripada tujuh cadangan yang dimasukkan ke dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan oleh Kementerian Kewangan di Parlimen pada Jumaat nanti.
“Kita ada buat cadangan ini, ini adalah skim khusus kepada golongan siswazah, tapi tidak tahu cadangan ini lulus atau tidak lagi.
“Ini seperti mana kita bimbing golongan B40 dan mungkin sudah sampai mana kita juga ingin bimbing golongan graduan yang berminat untuk menjadi usahawan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.
Tambahnya, pihak kementerian mencadangkan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menjayakan program Push ini bagi memantu golongan muda yang ingin memulakan perniagaan mereka selepas tamat belajar.
“Majoriti saya lihat golongan muda ini memulakan perniagaan mereka menggunakan modal mereka sendiri dan ramai sudah buktikan yang mereka berjaya.
“Banyak juga universiti-universiti yang tawarkan kursus-kursus keusahawanan, jadi siswazah ini memang memerlukan modal untuk memulakan perniagaan mereka,” katanya.
Noh berkata, jika cadangan tersebut diluluskan, ramai golongan siswazah atau golongan muda yang berminat menjadi usahawan dapat dibantu.
“Kita minta tujuh cadangan yang lain saya tidak boleh umum lagi sebab kita tidak tahu lulus atau tidak, tetapi saya harap cadangan skim ini diluluskan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE