PETALING JAYA – Perniagaan air balang milik pengarah filem kelahiran Kelantan, Syahmi Sazli yang telah kembali beroperasi mendapat sambutan baik orang ramai.
Perniagaan itu ditutup sementara sebelum ini ekoran beberapa isu berkenaan tapak perniagaannya yang didakwa mengganggu beberapa pengusaha lain di kawasan terbabit.
Melalui satu video yang dikongsi di media sosial Facebooknya, kelihatan ramai pelanggan sanggup beratur panjang semata-mata ingin mendapatkan minuman beberapa jenis kordial buah-buahan yang dihasilkannya.
Dalam video yang dikongsi itu, kelihatan ramai pelanggan beratur dan kakitangan Syahmi tidak menang tangan melayan pesanan pelanggan.
Rata-rata pengguna media sosial turut memberi sokongan dan galakan kepada Syahmi untuk meneruskan perniagaan tersebut.
“Aku lihat Syahmi ni bangkit balik selepas ada masalah hari tu, kali ini aku rasa lagi ramai pelanggan daripada sebelumnya.
“Aku pernah beli dan rasa, air dia memang banyak sedap dan banyak buah diisi dalam setiap bekas minuman,” kata Haikal Che Wil.
“Selain dari jual air balang, perniagaan pewangi kereta Syahmi juga laku. Satu sahaja Syahmi ni, dia banyak sangat tolong orang.
“Allah gandakan rezeki dia, hari tu dia bawa staf-staf ke Langkawi, seronok saya tengok,” jelas Jakki Sapie. – KOSMO! ONLINE