KUALA TERENGGANU – Seramai 2,779 pegawai dan anggota pasukan penyelamat pelbagai agensi di Terengganu sudah bersiap sedia bagi menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kesemua anggota pasukan penyelamat itu telah selesai menjalani latihan insentif bagi meningkatkan tahap kemahiran mereka melakukan operasi menyelamat pada musim banjir kelak.
“Selain latihan menyelamat, semua agensi terlibat juga telah selesai menyelenggara semua aset diperlukan dalam operasi banjir seperti bot, lori, kenderaan pacuan empat roda dan ambulans.
“Tahap kesiapsiagaan kini berada di tahap tertinggi dan kita berharap agar operasi menyelamat dan memindahkan penduduk terjejas banjir kelak bakal berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Hanafiah berkata, setakat ini, lebih 1,500 sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) telah memberi komitmen untuk turut sama membantu agensi penyelamat melakukan misi membantu mangsa banjir di Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri itu berkata, kolaborasi antara agensi penyelamat dan NGO tersebut dalam misi banjir akan diselaraskan agar lebih tersusun dan menyeluruh.
“Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu juga telah memasang 187 stesen hidrologi pemantauan banjir di seluruh negeri ini.
“Ia akan berfungsi memberi amaran awal apabila paras sungai mencecah tahap bahaya bagi membantu rakyat di kawasan terlibat berpindah dengan kadar segera,” katanya.
Sehubungan itu, Hanafiah menasihatkan penduduk terutama di lokasi berisiko banjir agar membuat persiapan awal dan patuh arahan pihak berkuasa apabila menerima arahan berpindah.
Dalam perkembangan sama, Hanafiah berkata, sebanyak 580 pusat pemindahan sementara yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir telah dikenalpasti di seluruh lapan daerah di Terengganu.