fbpx

14 ahli sindiket pemerasan video bogel masuk jerat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shuhaily menunjukkan wajah suspek yang diberkas pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Seramai 14 individu termasuk seorang warga emas yang dipercayai menjadi ahli sindiket pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel melalui media sosial diberkas menerusi operasi khas pada 16 September hingga 19 September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua individu berusia antara 23 hingga 60 tahun itu merupakan warga tempatan dan mereka ditahan di Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

”Anggaran keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa sindiket ini adalah berjumlah RM306,101.

“Siasatan yang dijalankan mendapati suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita ini adalah pemilik akaun yang digunakan oleh sindiket tersebut.

“Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek-suspek ini mempunyai pelbagai kesalahan jenayah serta dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek itu akan menyalurkan wang yang diterima daripada mangsa ke dalam akaun milik mereka sendiri dan kemudiannya memindahkannya ke akaun lain milik sindiket.

”Operasi mengesan ahli lain sindiket ini dijalankan secara berterusan dan kita percaya ada suspek lain yang menjalankan kerja-kerja pemerasan terhadap mangsa,” katanya.

Tambahnya, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan individu yang melayari laman sosial yang menawarkan perkhidmatan seks serta menggunakan aplikasi seperti Wechat, Facebook, WhatsApp, Michat dan Line sebagai mangsa.

“Mereka akan diajak untuk membuat panggilan video serta mempamerkan aksi lucah selain memperdaya mangsa untuk melakukan adegan lucah yang dirakam tanpa disedari mangsa.

”Kerugian yang paling tinggi dicatatkan di Pulau Pinang melibatkan jumlah RM69,000, dan ada di antara mangsa bekerja sebagai penjawat awam, pekerja swasta, penganggur dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu sejumlah 76 laporan polis telah diterima di seluruh Pulau Pinang melibatkan sindiket seperti ini.

“Dengan penahanan kesemua individu ini, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak 12 kes di sekitar Pulau Pinang dan 27 kes yang masing-masing di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang serta Sarawak,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI