KUALA LUMPUR – Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2022 yang akan berlangsung pada 8 dan 9 November depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini menyasarkan kira-kira 2,000 delegasi dari Malaysia serta rantau lain.
Sebelum ini, acara tahunan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) diadakan sejak 2001 itu dikenali sebagai HRDF Conference & Exhibition serta tidak diadakan pada 2020 dan 2021 ekoran Covid-19.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, persidangan dan pameran itu penting dalam melahirkan modal insan yang kompetetif serta hala tuju negara ke arah dunia Industri 4.0.
“Kita memerlukan modal insan yang mempunyai pelbagai bakat kemahiran, malah jika kita melihat kepada lapan tahun hadapan, kita perlu mengatasi Industri 4.0 yang lebih kompetetif.
“Dalam masa sama, acara ini juga bagi mengenal pasti secara terperinci terhadap Pembangunan Sumber Manusia 5.0,” katanya pada sidang akhbar prapelancaran NHCEE di sini hari ini.
Beliau berkata, menerusi Industri 4.0, ada pekerjaan tertentu yang akan hilang sekali gus memerlukan penggantian pekerjaan.
“Jadi kita perlu mengenal pasti sekarang apakah perkembangan yang akan berlaku seperti peluang-peluang baharu serta golongan-golongan yang akan tercicir.
“Contohnya, Jepun mereka mengenal pasti peluang-peluang pekerjaan. Kalau dahulu pembersihan dilakukan oleh pekerja kurang mahir di peringkat bawah, tetapi hari ini robot pula mengambil alih.
“Justeru, peluang pekerjaan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan ini melalui program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ (peningkatan kemahiran dan latihan semula),” katanya.
NHCCE 2022 bertemakan HR 5.0: Evolusi Seterusnya Dalam Pembangunan Sumber Manusia serta menampilkan enam sesi untuk melengkapkan pemimpin, pemain industri, pengurusan kanan, pengamal sumber manusia dan pekerja profesional dengan kemahiran dan pengetahuan dalam melaksanakan inisiatif transformasi modal insan dalam organisasi masing-masing.
Persidangan itu turut menampilkan 30 penceramah dan pakar bidang tempatan serta antarabangsa selain lebih 200 pempamer daripada pelbagai industri. – KOSMO! ONLINE