fbpx

Pemuda terlantar, rayu sumbangan RM7,500 bedah usus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Mohammad Shazwan yang dirawat di Hospital Pulau Pinang kerana menghidap penyakit usus.

SUNGAI PETANI – Seorang pemuda yang aktif dalam aktiviti sukarelawan merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan membuang usus sebanyak RM7,500.

Mohammad Shazwan Mohamed Shariff, 27, dari Taman Pelangi Indah, Sungai Pinang, Pulau Pinang menderita sakit usus itu sejak 13 tahun lalu dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang sejak awal bulan lalu.

Isterinya, Nurul Nasya Meor Syafryn, 21, berkata, suaminya terpaksa bergantung kepada susu yang diberi melalui tiub kepada usus kecil.

“Pihak hospital memaklumkan suaminya perlu menjalani pembedahan membuang usus yang mungkin akan dilakukan pada minggu depan.

“Namun begitu, kami perlu menjelaskan kos terlebih dahulu sebelum diberi tarikh pembedahan,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Jururawat sambilan di pusat ja­gaan orang-orang tua di Pulau Pinang yang hamil empat ming­gu itu kini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga suaminya.

“Saya tidak mempunyai wang simpanan kerana hanya saya seorang yang bekerja sebelum ini, manakala suami pula tiada pekerjaan tetap.

“Dia pernah bekerja di sektor kerajaan dan swasta, namun diberhentikan sebab kerap cuti sakit. Oleh itu, dia mengisi masa lapang dengan kerja-kerja sukarelawan,” ujarnya.

Jelasnya, suaminya disahkan menghidap penyakit hernia sejak 13 tahun lalu dan sejak itu dia sering diserang sakit perut.

Nurul Nasya memberitahu, sakit perut yang dialami suami­nya itu bertambah teruk sejak dua bulan lalu sehingga menyebabkan badan lelaki itu lemah dan terlantar di rumah.

“Pelbagai rawatan diusahakan, namun keadaannya sema­kin teruk. Awal September lalu, suami sakit perut sehingga sukar bernafas dan kerap muntah sebelum dia dimasukkan ke wad.

“Selepas seminggu dirawat, dia dibenarkan pulang ke rumah, namun sakitnya menyerang kembali menyebabkan dia sekali lagi dimasukan ke wad pada 13 September lalu sehingga sekarang,” katanya.

Wanita itu kini buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang dengan kadar segera untuk pembedahan suaminya.

“Keluarga mentua saya juga tidak mampu memandangkan dia juga menghidap kanser pa­yudara dan memerlukan per­belanjaan yang banyak untuk penyakitnya,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu Mohammad Shazwan boleh menghubungi isterinya, Nurul Nasya di talian 011-2801 8656 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 557018585771.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI