fbpx

NASA cipta sejarah ‘bedil’ asteroid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilustrasi artis yang diperoleh daripada NASA pasa 4 November 2021 menunjukkan kapal angkasa DART dari bahagian belakang sebelum menghentam sistem binari Didymos. – AFP

CAPE CANAVERAL, Florida – Kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya ‘menghentam’ sebutir aste­roid yang terletak pada jarak 11.26 juta kilometer (km) dari Bumi untuk  memesongkan orbitnya.

Peristiwa tersebut menandakan kejayaan ujian bersejarah NASA dan pada masa sama, ke­upayaan manusia  mencegah objek angkasa lepas daripada memusnahkan kehidupan di Bumi.

Dinamakan Misi Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART),  kapal angkasa NASA  itu me­ngenai sasaran  iaitu asteroid Dimorphos pada pukul 7.14 malam (waktu tempatan) kelmarin. Kejayaan itu dicapai 10 bulan selepas DART dilancarkan dari Cali­fornia dalam misi perintisnya.

“Kita memulakan era baharu,  era di mana kita  mempunyai keupayaan untuk melindungi penduduk Bumi daripada ancaman seperti impak asteroid yang berbahaya,” kata Pengarah Bahagian Sains Planet NASA, Lori Glaze.

Dimorphos memiliki saiz 160 meter atau hampir menyamai saiz piramid di Mesir. Ia mengorbit sebutir  asteroid lebih besar berdiameter 804 meter  yang dinamakan  Didymos.

Tidak pernah dilihat sebelum ini, ‘anak bulan’ itu muncul sebagai titik cahaya sekitar sejam sebelum pelanggaran.

Bentuknya yang lonjong seakan-akan sebiji telur dan per­mukaannya yang berbukit serta berbintik batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir ketika DART memecut laju ke arah batu angkasa itu pada kelajuan 23,500 kilometer sejam.

Saintis dan jurutera NASA bertepuk tangan ketika skrin menunjukkan imej terakhir yang menjadi kaku, petanda bahawa isyarat telah hilang dan pelanggaran berlaku.

Menurut NASA, pihaknya berjaya ‘mengunci’ sasaran 20 minit sebelum impak berlaku. Kejayaan itu turut menerima tepukan gemuruh dari bilik makmal sekitar pukul 6.50 petang (waktu tempatan).

“Kami telah mengunci Dimorphos. Kini, ia (DART) sedang me­nuju ke arahnya dan semuanya kelihatan menurut perancangan.

“Kami bekerja keras untuk misi ini selama tujuh tahun dan ia merupakan hasil usaha lebih seribu orang yang telah memberikan sepenuh hati dan jiwa raga mereka,” kata saintis  Makmal Fizik Gunaan Universiti Johns Hopkins, Dr. Elena Adams selepas impak berlaku.

Sejurus sebelum itu, imej satelit LICIACube telah disiarkan. Ia merakam detik terakhir kapal angkasa DART sebelum menghentam Dimorphos. LICIACube memancarkan imej dan data itu kembali ke Bumi.

Saintis-saintis berkata, imej tersebut akan dapat dilihat dalam masa beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, sama ada matlamat untuk memindahkan Dimorphos keluar daripada orbitnya berjaya dicapai atau sebaliknya, hanya akan diketahui dalam masa beberapa bulan akan datang.

“Sudah pasti balai cerap pangkalan darat sudah mengambil data, namun kita mungkin hanya dapat melihatnya dalam masa  beberapa bulan akan datang.

Kedua-dua asteroid Dimorphos dan Didymos tidak memberikan ancaman kepada Bumi, namun misi serupa  boleh digunakan untuk mengalihkan ba­tuan angkasa yang lain daripada mengancam planet ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI