TONGGAK tengah Kuala Lumpur City, Ryan Lambert seakan sedang membuktikan sesuatu ketika melakar hatrik untuk bantu kemenangan 5-0 ke atas Sarawak United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Bagaimanapun, dua gol pantas dalam tempoh dua minit di pertengahan babak pertama jelas menjadi titik tolak kepada kemenangan besar KL City.
Terdahulu, aksi agak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan namun memasuki minit ke-17, perlawanan terpaksa dihentikan untuk tempoh kira-kira lima minit ekoran lampu limpah mengalami masalah.
Sejurus aksi bersambung, KL City makin garang mencipta peluang dan hasilnya memperoleh dua jaringan pantas menerusi ketua pasukan, Paulo Josue pada minit ke-28, diikuti gol kedua daripada Lambert, seminit kemudian.
Minit ke-41, kerja keras Lambert yang tidak menunjukkan sikap berputus asa selepas diasak pertahanan lawan jelas terbalas apabila meledak gol kedua peribadi untuk meletakkan KL City makin selesa 3-0.
Sekalipun Sarawak menyambung aksi agak positif, skuad The City Boys jelas berada pada prestasi terbaik ketika Lambert melengkapkan hatriknya pada minit ke-53.
Jika dinilai pada peluang yang dicipta, Sarawak United sepatutnya mampu memperoleh sekurang-kurangnya tiga gol sebaliknya ia sentiasa dikecewakan oleh sentuhan terakhir.
Minit ke-85, pemain gantian tuan rumah, Jordan Mintah menutup ‘kenduri’ KL City dengan menyumbangkan gol kelima. – KOSMO! ONLINE