PUTRAJAYA- Jabatan Imigresen (JIM) sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang kepada seorang ‘blogger’ selepas individu berkenaan membuat satu hantaran di media sosial yang dilihat menimbulkan salah faham rakyat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya berasa kesal dengan tuduhan tidak berasas itu dan tindakan tersebut boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan Keluarga Malaysia.
“JIM merujuk kepada satu hantaran Facebook oleh seorang blogger yang membuat dakwaan tidak berasas berkaitan pengurusan masuk pekerja-pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Majikan diwajibkan menunggu ketibaan pekerja asing baharu di KLIA dan mereka bertanggung jawab menguruskan dokumentasi serta membuat pengesahan bahawa mereka adalah majikan kepada pekerja tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Beliau berkata demikian sebagi mengulas hantaran blogger terbabit yang menyifatkan tiada tindakan diambil JIM meskipun ada pekerja asing menunggu hingga 12 jam di KLIA untuk dilepaskan kepada majikan mereka.
Khairul Dzaimee memberitahu, peraturan JIM memberi tempoh selama enam jam kepada majikan untuk datang ke KLIA dan menerima pekerja asing mereka.
“Dalam keadaan tertentu, tempoh itu akan dilanjutkan. Pekerja terlibat tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar seperti dalam permohonan tiba di KLIA untuk menerima mereka.
“Peraturan di atas bertujuan memastikan semua pekerja asing mempunyai majikan sah. Kegagalan majikan mematuhi peraturan menyebabkan pekerja asing diberikan notis ‘Not to Land’ (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal,” tegasnya.
Katanya, sejak pembukaan semula sempadan negara, JIM telah menguruskan kemasukan pekerja asing baharu berjumlah 98,079 mulai 1 April sehingga 26 September 2022. – KOSMO! ONLINE