JAKARTA – Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi memberi jaminan bahawa paradigma kerjasama akan menjadi garis panduan bagi kepimpinan Indonesia di Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2023, lapor laman berita ANTARA semalam.
Perkara tersebut dinyatakan semasa Retno berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77 di New York, Amerika Syarikat (AS).
“ASEAN adalah contoh di mana paradigma kerjasama sentiasa diketengahkan dan Indonesia akan mempraktikkan prinsip tersebut sebagai pengerusinya tahun depan.
“Indonesia juga komited untuk memperkukuh perpaduan dan pemusatan ASEAN supaya pertubuhan ini kekal relevan dan penting untuk manusia, serantau dan dunia,” jelasnya.
Tambahnya, ASEAN juga akan terus serius dalam menangani keadaan politik di Myanmar.
Indonesia amat prihatin terhadap kekurangan komitmen pemerintah junta tentera Myanmar dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara.
Konsensu Lima Perkara konsensus yang dipersetujui Myanmar bersama ASEAN adalah penamatan segera keganasan di Myanmar, dialog antara semua pihak terbabit, pelantikan utusan khas, pengagihan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN ke Myanmar dan lawatan Duta khas ASEAN ke Myanmar untuk bertemu semua pihak.
“Sokongan daripada masyarakat antarabangsa adalah sangat penting untuk memulihkan demokrasi di Myanmar,” kata Retno. – Agensi