MERSING – Dua bot nelayan asing bersama 19 kru ditahan selepas dipercayai menceroboh perairan negara pada kedudukan 12.8 batu nautika Timur Laut Pulau Aur, Mersing semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata bot dari Vietnam itu ditahan pada pukul 2.30 petang oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Mersing bersama Pasukan Polis Marin (PPM).
Katanya kedua-dua bot telah ditahan ketika melakukan aktiviti menunda pukat secara berganding ketika rondaan dalam operasi penguatkuasaan Op Jaksa dan Op Bersepadu itu.
“Hasil pemeriksaan ke atas 19 kru termasuk tekong kedua-dua bot, mengesyaki mereka adalah warga Vietnam berumur diantara 18 hingga 51 tahun. Mereka juga didapati gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua bot beserta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dianggarkan 3,000 kilogram. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3.1 juta.-KOSMO! ONLINE