fbpx

Bincang dengan imigresen isu pengurusan pekerja asing di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan pada prapelancaran NHCCE 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan akan berbincang dengan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud susulan peraturan tempoh enam jam diberikan kepada majikan untuk mengambil pekerja asing mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Saravanan berkata, dalam masa sama, beliau juga akan memohon supaya pihak Jabatan Imigresen untuk mempercepatkan proses berkaitan pengurusan pekerja asing.

“Saya akan bincang dengan beliau, jangan buat macam itu serta cuba cepatkan proses. Saya juga terima aduan berkenaan kes terlalu lewat di imigresen, tapi ini perkara dalaman, jadi saya akan semak dengan beliau.

“Kalau betul, kita cari jalan penyelesaian. Menghantar semula pekerja asing (balik ke negara asal) bukan suatu pilihan kerana kita memang memerlukan pekerja,” katanya pada sidang akhbar prapelancaran Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2022 di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, peraturan Jabatan Imigresen memberi tempoh selama enam jam kepada majikan untuk datang ke KLIA dan menerima pekerja asing mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, kegagalan majikan mematuhi peraturan itu akan menyebabkan pekerja asing berkenaan diberikan notis ‘Not to Land’ (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal.

Bagaimanapun katanya, dalam keadaan tertentu, tempoh tersebut akan dilanjutkan.

Terdahulu, seorang blogger di Facebook menuduh Jabatan Imigresen mengenakan peraturan tidak realistik berkaitan pengurusan masuk pekerja asing di KLIA. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI