fbpx

Bekas Ketua Perancang Pos didakwa terima suapan RM248,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM248,000 daripada sebuah syarikat OnxOn Logistik Sdn. Bhd.

MELAKA – Bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM248,000.

Tertuduh, Hazri Mokhtar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan bernilai RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh agensi itu kepada sebuah syarikat OnxOn Logistik Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja Outsourcing Linehaul dan Shuttle Services di Sabah dan Sarawak.

Kesemua wang suapan berjumlah antara RM5,000 sehingga RM15,000 itu diperolehi melalui pindahan ke dalam dua akaun miliknya daripada syarikat berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan antara 8 Julai 2020 sehingga 11 Oktober 2021 di Bank Simpanan Nasional di Lot 779 Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohammad Amir Aizat Abd. Rani merayu jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh tidak lagi bekerja di agensi itu dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan.

Tambahnya, dia juga menghidap sakit gaut selain perlu menyara ibu dan ayah mentua di kampung.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM35,000 dengan syarat penjamin adalah isteri tertuduh dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.

Elesabet kemudian menetapkan tarikh 2 November depan sebagai sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI