KUALA TERENGGANU – Semua individu yang mahu mendaki lima gunung di Terengganu akan diwajibkan menggunakan khidmat malim gunung perhutanan (MGP) mulai 1 Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, peraturan baharu itu bagi memastikan pendakian mereka berjalan lancar dan selamat.
Beliau berkata, lima gunung terlibat ialah Gunung Sarut, Setiu; Gunung Tebu dan Gunung Bukit Tangga, Besut serta Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir (CBL) dan Bukit Baik, Dungun.
“Buat masa ini, penggunaan khidmat MGP hanya diwajibkan di lima gunung tersebut yang paling popular dengan aktiviti pendakian di negeri ini.
“Buat masa ini, 120 MGP telah berdaftar dengan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan ia dirasakan mencukupi untuk menampung keperluan bakal pendaki,” katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan tajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC’22) di sini hari ini.
Ariffin berkata, ia selaras dengan arahan Jabatan Perhutanan Malaysia yang mewajibkan penggunaan MGP bagi aktiviti pendakian bukit atau gunung berketinggian melebihi 457.2 meter bermula Januari tahun depan.- KOSMO! ONLINE