WASHINGTON – Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) menggunakan teknik unik bagi menghantar resume ke syarikat multinasional barangan sukan, Nike apabila mencetaknya di atas sebiji kek, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Wanita itu, Karly Pavlinac Blackburn mendedahkan tindakannya di platform media LinkedIn tentang pengalamannya memohon pekerjaan di Nike menggunakan sebiji kek.
“Beberapa minggu lalu, saya menghantar resume pekerjaan kepada Nike yang dicetak di atas sebiji kek yang boleh dimakan.
“Ia dihantar semasa Nike mengadakan majlis sambutan Hari Just Do It (JDI) yang dihadiri pemain terkemuka seperti LeBron James, Colin Kaepernick dan ramai lagi,” tulis Blackburn.
Dia juga berkata bahawa Nike pada masa ini tidak membuka sebarang iklan jawatan kosong. Bagaimanapun, Blackburn bertekad mahu Nike sedar akan kewujudan dan kesungguhan dirinya untuk diambil bekerja di sana.
Sejurus selepas mendapat idea mencetak resume pada kek dan menemui rakan penghantar yang sanggup bekerjasama ‘menerjah’ parti tanpa sebarang jemputan, idea Blackburn akhirnya menjadi kenyataan.
Namun tiada penjelasan sama ada pihak pengurusan Nike menyedari atau tidak kehadiran kek resume yang dihantar Blackburn semasa parti tersebut. – Agensi