fbpx

‘Terpaksa masak mi bandung, nasi goreng tanpa telur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pelanggan melihat rak jualan telur yang kosong di sebuah pasar raya di Gua Musang kelmarin.

GUA MUSANG – Pemborong dan peniaga di daerah ini resah apabila bekalan telur ayam semakin berkurangan sejak dua minggu lalu sehingga tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

Situasi itu turut diakui oleh pengusaha kedai makan, pembuat kek dan biskut apabila sukar mendapatkan telur ayam.

Tinjauan Kosmo! di dua pasar raya dan beberapa kedai runcit mendapati, telur ayam habis dan difahamkan bekalan baharu akan tiba hari ini atau Khamis.

Seorang peniaga kedai runcit, Nurul Fatehah Saupi, 33, berkata, pada bulan ini, bekalan telur hanya sampai seminggu sekali di premisnya.

“Jumlah bekalan amat terhad apabila hanya menerima 50 papan telur seminggu. Masalah kekurangan telur ayam Gred A, B, C dan D berlaku sejak dua ­minggu lalu dan tidak dapat menampung permintaan yang tinggi.

“Ramai pelanggan tetap dan baharu datang untuk membeli telur, namun pulang hampa kerana bekalan habis,” katanya.

Pengusaha bakeri, Mohamad Shamsul Ridzuan, 32, berkata, dia berdepan masalah untuk menyiapkan tempahan pelanggan kerana masalah kekurangan bekalan telur ayam.

Katanya, dia terpaksa mengehadkan tempahan kek kerana kekurangan bekalan telur ayam.

“Jika keadaan berterusan, saya terpaksa bercuti seketika dan menolak tempahan pelanggan,” katanya.

Seorang lagi pengusaha kedai makan, Mimiliza Mohd. Zain, 36, berkata, masalah itu memberi kesan kepada perniagaannya kerana kebanyakan menu yang dijual adalah masakan panas berasaskan telur.

“Adakala pelanggan merungut dan tidak puas hati kerana tiada telur dalam hidangan mi ban­dung atau nasi goreng,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI