TAPAH – Pencemaran Sungai Labu dan Sungai Chikus di Batang Padang di sini yang dipercayai akibat pembuangan sisa industri dari kawasan berdekatan sungai tersebut sejak tiga hari lalu menyebabkan ribuan ikan mati.
Seorang nelayan, Saiful Azam Mohd. Sapari, 36, memberitahu, pencemaran itu juga menyebabkan air sungai tersebut bertukar hitam dan berbau busuk.
Menurutnya, nelayan setempat terkejut apabila menemui ikan-ikan serta udang galah yang telah mati terapung di sungai berkenaan.
“Kejadian ini telah menjejaskan pendapatan kami sebagai golongan nelayan.
“Kami amat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini dan mengelakkannya menjadi lebih teruk,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurutnya, antara hidupan sungai yang ditemui mati termasuklah ikan lampam, ikan baung, ikan tilapia, ikan putih dan udang galah.
“Kira-kira enam orang nelayan sungai di sini hilang sumber pendapatan kesan daripada pencemaran sungai itu. Mereka agak terkesan dengan masalah tersebut,” ujarnya.
Katanya, masalah ini bukan pertama kali berlaku, malah kerap terjadi terutamanya pada hari cuti am, seakan-akan memberi petanda bahawa kegiatan pembuangan sisa industri berlaku pada waktu tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pihaknya memandang serius aduan daripada nelayan berkaitan isu pencemaran Sungai Chikus tersebut.
Katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mencari punca pencemaran tersebut dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang menyebabkan masalah berkenaan.